Wednesday 30 April 2014

Bolehkah Mewarnakan Rambut

Assalamualaikum

Saya ingin kongsikan bolehkah seorang Muslim mewarnakan rambut. Artikel ini dipetik di sebuah akhbar tempatan.

Mewarnakan rambut termasuk dalam perhiasan. Dalam hal ini, difahami daripada nas hadis bahawa rambut tidak harus diwarnakan dengan warna asal rambut seperti warna hitam. Maka jika warna rambut bertukar seperti memutih atau uban maka harus diwarnakan dengan warna selain hitam.

Pun begitu adalah tidak harus jika ia terlalu pelik. Contohnya sebelah berwarna merah dan sebelah lagi berwarna biru. Ini adalah suatu kepelikan dan mempunyai unsur tasyabbuh (peniruan) dengan amalan yang tidak baik dalam Islam.

Oleh itu, warna yang elok ialah warna seperti inai. Rambut kelihatan kemerahan dan coklat. Ia tidak jauh berbeza dengan warna asal rambut iaitu hitam. Adapun penggunaan warna hitam, maka ia harus digunakan untuk ranbut dalam dua keadaan

1. Suasana jihad perang. Ini bagi menunjukkan kepada musuh bahawa anggota tentera masih gagah dan kuat dan bukannya orang tua yang uzur.

2. Isteri yang ingin menarik perhatian suaminya dan mengekalkan kasih sayang suami terhadap dirinya. Maka jika rambutnya sudah mula menampakkan memutih, maka adalah harus bagi si isteri mewarnakan rambutnya dengan warna hitam.

Pengguna Muslim juga hendaklah memastikan bahawa bahan yang digunakan adalah yang telap air. Ini kerana menyapu kepala iaitu sebahagian rambut yang berada di dalam kawasan kepala adalah rukun wuduk.

Begitu juga dengan mandi junub. Maka jika bahan pewarna tidak telap air maka dikhuatiri wuduk dan mandi junub adalah tidak sah.


Sumber: Utusan Malaysia, Soal Jawab Islam, Al-Syaikh Mohammad Nidzam Abdul Kadir (al-Jarumi) Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.



Tuesday 29 April 2014

Khasiat Sebiji Epal

Assalamualaikum

Epal adalah buah yang berkhasiat yang sarat dengan anti oksida semula jadi yang mampu memberikan pelbagai manfaat kepada tubuh badan kita. Epal juga mampu membuatkan wajah awet muda malah ia juga mampu mengurangkan risiko pelbagai penyakit berkaitan usus dan jantung.

Bagi wanita moden yang ingin berdiet tetapi terlalu sibuk menguruskan keluarga dan kerjaya epal adalah jalan penyelesaian terbaik. Ini kerana ia mengandungi nutrisi penting yang boleh memberi manfaat terhadap kesihatan. Epal turut mengandungi serat, potasium, serta vitamin A dan C yang merupakan nutrien penting untuk kesihatan jantung.

Kajian menunjukan bahawa wanita yang mempunyai berat badan berlebihan yang mengambil tiga biji epal sehari sebagai sebahagian daripada amalan diet berkalori rendah harian boleh mengurangkan berat badan dengan lebih berkesan.

Epal adalah buah yang bernutrisi tinggi yang mudah diperolehi pada harga berpatutan. Khasiatnya juga setanding dengan khasiat buah - buahan yang mahal seperti beri biru dan delima. 

Monday 28 April 2014

Mengubah Cara Berfikir

Assalamualaikum

Ingin saya kongsikan bersama - sama petikan dari Prof. Dr. Muhaya yang boleh memberi manfaat kepada saya dan juga para pembaca.

"Reset Minda" adalah konsep pemikiran bagaimana mengubah cara kita melihat sesuatu kejadian dan peristiwa yang terjadi ke atas kita. Kalau sesuatu kejadian itu menyedihkan, terimalah ia sebagai satu ujian daripada Allah dan kita redha.

Sebaliknya jika peristiwa gembira yang hadir dalam hidup kita terimalah sebagai satu rahmat daripada Allah dan kita bersyukur serta sedari bahawa apa yang kita peroleh itu bukan kerana kehebatan kita tetapi kurniaan Allah.

Dengan kedua - dua cara ini, kita akan menjadi seorang yang tabah dan tidak riak, malah akan sentiasa merendah diri. Dengan sikap ini kita akan disenangi oleh orang di sekeliling kita dan menjadi seorang yang bahagia dan membahagiakan.

Ubah cara kita melihat sesuatu (Reset minda) jika sesuatu masalah menimpa kita, lihatlah masalah itu sebagai satu peluang dan bukan halangan untuk capai satu kejayaan yang baharu. Fokus kepada perkara yang baik/positif dan kita akan dapat pekara baik sahaja. Jika kita fokus kepada masalah, jadi masalah pun datang dan kalau kita memang mempunyai masalah, masalah menjadi semakin besar.

Oleh sebab itu dalam konsep pemikiran "Reset minda" disarankan kita menjaga tiga perkara.
1. Kata - kata yang keluar dari mulut kita.
2. Fkiran yang berkisar dalam minda kita.
3. Perasaan yang berbolak - balik dalam hati kita.
Pastikan semua kata - kata itu haruslah yang positif dan jangan ada sama sekali kata - kata negatif.

Sunday 27 April 2014

Tabiat Merosakkan Otak

Assalamualaikum.

Otak adalah organ terpenting bagi pusat kawalan utama badan. Ia menerima maklumat melalui deria daripada dalam dan luar tubuh malah ia juga menganalisis maklumat. Maklumat yang terperoleh kemudian di hantar kepada anggota badan untuk tindakan. Kajian mendapati terdapat beberapa tabiat yang mampu memberi kesan buruk kepada otak. Otak yang sihat adalah kunci segala perilaku dan tindakan dalam kehidupan.

1. Tidak mengambil sarapan.
 Ia menyebabkan paras gula di dalam darah akan menjadi rendah dan mengakibatkan kekurangan nutrisi pada otak dan menjadikannya kurang aktif.

2. Terlebih makan.
Makan berlebihan menyebabkan banyak darah dialirkan ke perut dan usus dan sekali gus menyebabkan kekurangan darah ke otak. Kekurangan darah ke otak menyebabkan mengantuk dan hilang daya fokus.

3. Perokok.
Asap rokok akan mengakibatkan sel otak terjejas atau terbakar dan boleh mengakibatkan "Alzheimer".

4. Pencemaran udara.
Ia boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan menjejaskan keaktifan otak.

5. Terlebih tidur.
Tidur adalah bagus untuk merehatkan otak tetapi masa tidur yang panjang boleh mengakibatkan sel otak mati.

6. Menutup muka ketika tidur.
Tabiat ini menyebabkan banyak gas karbon dioksida terperangkap dan disedut semula ketika proses pernafasan.

7. Membiarkan otak bekerja ketika tidak sihat.
Bekerja semasa tubuh badan kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kepada kerosakan sel otak.

8. Kurang imiginasi.
Berfikir adalah satu cara untuk melatih otak. Tahap kecerdasan dan keaktifan akan menurun apabila kurangnya imiginasi.

9. Kurang berfikir.
Kurang berfikir akan menyebabkan otak kurang aktif. Pembincangan yang membina dapat menambah keberkesanan kecerdasan otak.

10. Penggambilan gula berlebihan.
Gula yang berlebihan dalam badan boleh mengganggu penyerapan protien dan nutrisi sekali gus merencatkan perkembangan otak yang sihat.


sumber diolah dari: Harian Metro





Saturday 26 April 2014

Makan Malam

Assalamualaikum

Ramai yang beranggapan mengambil makan pada waktu malam boleh mengakibatkan kegemukkan. Individu yang sedang berdiet pastinya akan mengelak untuk makan malam. Sebenarnya makan malam adalah penting untuk menjamin kesihatan tubuh badan.


Pengambilan makan malam yang dikatakan mengemukkan adalah mengambil makan malam pada kuantiti yang banyak. Pengambilan makanan yang berkolestrol tinggi serta berminyak adalah salah satu puncaah. Sebaiknya ambil pada kuantiti yang kecil dan makan makanan berkhasiat seperti buah - buahan, makanan kurang berminyak  dan makanan rendah karbohidrat.


Selain itu tidur selepas makan adalah salah satu tabiat  yang kurang baik. Sebaiknya jarakkan makan malam dengan waktu tidur selama 2 atau 3 jam sebelum tidur. Makanan yang di makan mengambil masa untuk dihadam. Apabila kita tidur selepas makan ia sebenarnya melambatkan proses penghadaman. Ia juga memberi kesan negatif kepada tubuh badan seperti sukar membuang air, badan tidak segar dan tubuh menjadi lemah. Tidur selepas makan boleh meningkatkan risiko serangan strok. Ini kerana sistem pencernaan bekerja keras untuk mencerna makanan ketika tidur.

Friday 25 April 2014

Air Kosong Merawat Penyakit

Assalamualaikum.


Air kosong mempunyai pelbagai kebaikan malah air kosong adalah penting untuk tubuh badan kita.
Kajian para saintis dari Japanese Medical Society telah berjaya membuktikan dalam kes - kes tertentu mampu memulihkan beberapa jenis penyakit.

Diantara penyakit yang termasuk dala kajian mereka adalah sakit kepala, sakit - sakit badan, sistem jantung, artrisis, dengupan jantung yang pantas, lemak berlebihan, tibi, penyakit tekak, buah pinggang dan jangkitan pada air kencing.

Bagaimanpun amalan minum air kosong ini perlulah mengikut beberapa peraturan untuk memastikan keberkesanannya:

1. Minum 4 gelas air (160ml) sebaik jaga dari tidur setiap pagi dan sebelum bangun memberus gigi.
Bagi mereka yang tidak mampu untuk minum 4 gelas air sekali gus mulakan amalan ini dengan meminum air secara berperingkat sehingga mampu mencapai 4 gelas sehari.

2. Berus gigi dan bersihkan mulut tetapi jangan makan atau minum apa - apa untuk 45 minit.

3. Selepas 15 minit mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam, jangan makan atau minum untuk tempoh 2 jam.

Bilangan hari merawat diperlukan untuk menyembuhkan/mengurangkan/mengawal penyakit:

Tekanan darah tinggi: 30 hari
Gastrik: 10 hari
Diabetes: 30 hari
Sembelit: 10 hari
Kanser: 180 hari
Tibi: 90 hari
Artritis: 3 hari pada minggu pertama dan mulai minggu kedua dilakukan setiap hari amalan ini.




Thursday 24 April 2014

Tips Menghindari Bahaya Petir

Assalamualaikum

Petir sering berlaku ketika hujan lebat dan ia boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian. Afrika tengah adalah negara menerima panahan petir tertinggi di dunia. Manakala Malayasia tergolong dalam negara kedua menerima panahan petir tertinggi di dunia.

Apa yang anda harus lakukan ketika petir sedang berlaku:

1. Jika anda berada di kawasan lapang dan terbuka segeralah mencari bagunan atau kenderaan anda untuk berlindung. Jika tiada tempat untuk berlindung berhampiran anda, rapatkan kaki anda dan bongkokkan badan serendahnya. Elakkan dari berteduh di bawah pokok mahu pun tiang besi yang boleh mengalirkan arus elektrik.

2. Jika anda berada di rumah tanggalkan plag elektrik dan jauhi dari tingkap.

3. Elak dari menggunakan telefon kerana ia boleh membahayakan ketika petir sedang berlaku.





Wednesday 23 April 2014

Pengalaman Bekerja

Assalamuaikum. Salam sejahtera

Pada entri kali ini saya ingin kongsikan pengalaman saya sewaktu bekerja di sebuah kedai buku. Saya nak kongsikan bagaimana sebuah buku direkodkan sebelum dijual. Selepas buku diterima daripada pembekal, buku itu akan direkodkan tarikh diterima, harga, keluaran, genre, dan ISBN. Kemudian tiket harga akan dicetak dan dilekatkan di setiap buku - buku tersebut. Tujuan merekodkan data buku ini adalah untuk mengetahui jumlah yang terjual. Kemudian buku akan disusun mengikut jenis - jenis buku supaya mudah untuk dicari dan tersusun.

Jika ada buku yang tidak dapat djual selepas beberapa tempoh ia akan dipulangkan kepada pengedar buku tersebut dan setiap tahun kedai akan mengadakan stock take. Stock take adalah penting untuk memastikan berapa barang terjual dan juga dapat mengetahui kehilangan barang di dalam kedai. Daripada stock take ini lah kita dapat tahu kerugian dan lain - lain.

Sepanjang saya bekerja saya paling suka sewaktu musim Baucer Buku 1 Malaysia (BB1M). Waktu itu ramai pelajar akan datang untuk menggunakan baucer mereka. Ada pelajar yang habis kesemua baucer mereka RM250 sekali gus. Ada juga pelajar yang mengguna sedikit - sedikit. Pada tahun lepas para pelajar menerima baucer sebanyak RM250 dan pada tahun ini pelajar menerima baucer sebanyak RM300. Baucer ini diberi kepada pelajar tingkatan 6 sehinga pelajar IPT. Musim BB1M ini memang sibuk tak menag tangan dibuatnye tetapi saya suka melihat ragam pelajar membeli barang keperluan mereka.

Ramai juga sebenarnya rakyat kita yang sanggup menghabiskan wang untuk membeli buku. Ada pelanggan yang setiap bulan akan menghabiskan 300 ringgit dan ada juga membelanjakan sebanyak 700 ringgit untuk membeli buku. Bagi saya itu satu angka yang besar. Membaca adalah satu hobi yang baik dalam masa yang sama ia dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita.

Semoga perkongsian saya ini dapat memberi manfaat kepada anda semua.




Tuesday 22 April 2014

Tips Penjagaan Kulit Ekzema

Assalamualaikum

Ekzema merupakan penyakit kulit yang boleh menyebabkan kulit menjadi kemerah - merahan, gatal, dan rasa pedih. Ekzema tahap ringan ke sederhana, masalah ini mengakibatkan kulit kering, panas, gatal. Manakala dalam kes yang serius ia menjadi merekah dan boleh mengakibatkan pendarahan. Pesakit ekzema perlu mengambil berat penjagaan kulit.

Tips penjagaan kulit untuk kulit ekzema:

1. Pakai sarung tangan plastik atau vinil ketika mengunakan produk pembersih seperti detergen dan sabun pembersih. Produk ini boleh menyebabkan iritasi kulit.

2. Memakai pakaian daripada kain kapas atau kombinasi kapas dapat menyerap peluh dan akan merasa lebih selesa. Fabrik bulu atau sesetengah tekstil sintetik boleh menyebabkan iritasi kulit.

3. Menggunakan sabun lembut tanpa pembersih yang boleh digunakan dengan atau tanpa air ketika mandi. Kekalkan suhu air pada kadar dingin atau suam dan bukan panas. Gunakan tuala lembut untuk mengelap kulit.

4. Mengamalkan penggunaan losen pelembap setiap hari agar kulit lebih lembut dan fleksibel. Elakkan pelembap yang mengandungi pewangi dan pelbagai bahan tambahan. Gunakan losen yang bersesuaian untuk kulit sensitif.

5. Elakkan daripada menggaru kawasan yang terdedah biarpun gatal. menggaru boleh menyebabkan kulit merekah dan menjadi lebih teruk. Gunakan pelembap untuk mengatasi kegatalan tersebut.

Monday 21 April 2014

Formula Untuk Berjaya

Assalamualaikum

Orang yang berjaya akan melakukan apa yang orang tidak berjaya tidak suka lakukan. Bukan kerana dia suka tetapi ia menjadikan perkara itu sebagai tabiat yang dibuat tanpa perlu berfikir lagi. Orang yang hebat akan melakukan tindakan yang luar biasa, hasil daripada fikiran yang luar biasa dan menghasilkan hasil kehidupan yang luar biasa.Manusia terdiri daripada dua golongan iaitu "golongan komited" dan "golongan beralasan".

Ciri - ciri atau sikap "golongan komited":

1. Mempunyai target apa yang ia ingin capai pada 10, 20 atau 30 tahun akan datang.

2. Sentiasa berfikiran positif, sedar dirinya unik dan yakin dirinya hebat. Orang yang tidak yakin dirinya hebat bermakna dia tidak yakin dengan kehebatan Allah yang menciptanya.

3. Sentiasa mempunyai niat dan perasaan "henak memberi" bukan "hendak mendapat". Oleh itu apabila dia membuat sesuatu kerja dia membuatnya dengan ikhlas, bersungguh - sungguh dan memberi banyak manfaat tanpa memikirkan ganjaran.

4. Sentiasa berfikir rezeki itu sangat luas. Oleh itu mereka sentiasa berlapang dada tidak tamak haloba dan tidak iri hati apabila dia tidak berpeluang memperolehnya.

5. Berdisiplin untuk mencapai cita - cita.

6. Sentiasa mengawal fikiran dan emosi yang menentukan keputusan pilihan dan tindakan dalam mencapai hasil kehidupan.

Ciri - ciri atau sikap "golongan beralasan"

1. Tidak ada perancangan dan matlamat hidup.

2. Sentiasa mengutuk diri sendiri dan berasa rendah diri hingga tidak berani mencuba sesuatu yang baharu buat diri sendiri.

3. Sangat berkira dan suka memberi alasan apabila tidak berjaya bukan mencari jalan untuk mencapai kejayaan. Selalu menyalahkan orang lain atau faktor luar yang menyebabkan kegagalan.

4. Sentiasa berasa rezeki sedikit dan peluang terhad. Berebut dan cepat merasa dengki dengan kejayaan orang lain. Oleh itu, sentiasa kedekut dan sering enggan memberi kerjayasama.

5. Tidak tetap pendirian dan tidak konsisten.

6. Berfiiran negatif dan sangat emosional.

Setiap manusia boleh berubah menjadi baik yakni daripada "golongan beralasan" menjadi "golongan komited" dengan cara mengubah cara berfikir.


 Sumber: Mingguan Malaysia, Prof. Dr. Muhaya Mohamad

5.

Wednesday 9 April 2014

Salam Perkenalan

Assalamualaikum

Salam Sejahtera

Ini adalah blog dan entri pertama saya. Didalam blog ini nanti saya akan memuatkan enrtri - entri yang dapat memberi manfaat kepada saya dan juga rakan - rakan. 

Sebelum itu saya ingin memperkenalkan diri. Nama saya Safiyah Hazwani Bt Abdul Rahim. Saya dilahirkan di Ipoh, Perak dan dibesarkan di Kedah. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Dato Haji Zainuddin, Serdang, Kedah. Seterusnya melanjutkan persekolahan di peringkat menegah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sulatn Badlishah, Kulim, Kedah.

Tamat persekolahan saya melanjutkan pelajaran di Center for Foundation Studies International Islamic Universiti  Malaysia selama 2 tahun dan kemudian menyambung pelajaran di International Islamic Universiti Malaysia di dalam bidang kejuruteraan bahan. Selepas  menyempurnakan 4 tahun pengajian saya berusaha mencari pekerjaan yang bersesuaian dalam bidang pengajian saya. Hampir 6 bulan saya mencari pekerjaan tetapi masih gagal. Saya terfikir mungkin saya mempunyai kekurangan dari segi Interpersonal Skill menyebabkan saya gagal dalam usaha mencari pekerjaan. Saya membuat keputusan untuk menyertai program khas kepada graduan lepasan ijazah yang masih menganggur dengan harapan semoga saya dapat mencari pekerjaan. Didalam progaram itu ada menyediakan kelas Interpersonal skill dan juga Latihan Industri. Kebanyakkan rakan saya yang menyertai program ini di serap sebagai pekerja tetap  tetapi rezeki tidak memihak kepada saya.

Ketika itu saya nekad untuk bekerja dan tidak kisah sama ada kerja itu lari dari bidang saya. Kebetulan ada jawatan kosong di sebuah kedai buku berhampiran dengan rumah saya. Saya berjaya bekerja di kedai buku itu sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan  MPH Bookstore. Pada awalnya saya merasakan bekerja di kedai buku membosankan tetapi tanggapan saya salah. Kerja di kedai buku amat menyeronokkan walaupun agak kepenatan kerana saya terpaksa berdiri sepanjang waktu bekerja. Walaupun saya tidak minat membaca tetapi bekerja di kedai buku membuatkan saya rasa minat untuk membaca. 

Pada Ogos 2013, saya telah menamatkan zaman bujang bersama suami tercinta Mohd Shukur B Zubir. Kini saya menetap di Rawang, Selangor dan tidak lagi bekerja di kedai buku itu. Semenjak menjadi surirumah saya selalu befikir sama ada ingin bekerja atau menjadi surirumah sepenuh masa. Separuh dari diri saya ini ingin bekerja dalam masa yang sama ingin menjadi surirumah sepenuh masa. Alhamdulillah kini saya berjaya menjadi salah seorang dari rakan Akademi Bekerja di Rumah. Saya berharap suatu hari nanti saya akan menjadi seorang surirumah yang berjaya. Insha Allh.