Wednesday 30 April 2014

Bolehkah Mewarnakan Rambut

Assalamualaikum

Saya ingin kongsikan bolehkah seorang Muslim mewarnakan rambut. Artikel ini dipetik di sebuah akhbar tempatan.

Mewarnakan rambut termasuk dalam perhiasan. Dalam hal ini, difahami daripada nas hadis bahawa rambut tidak harus diwarnakan dengan warna asal rambut seperti warna hitam. Maka jika warna rambut bertukar seperti memutih atau uban maka harus diwarnakan dengan warna selain hitam.

Pun begitu adalah tidak harus jika ia terlalu pelik. Contohnya sebelah berwarna merah dan sebelah lagi berwarna biru. Ini adalah suatu kepelikan dan mempunyai unsur tasyabbuh (peniruan) dengan amalan yang tidak baik dalam Islam.

Oleh itu, warna yang elok ialah warna seperti inai. Rambut kelihatan kemerahan dan coklat. Ia tidak jauh berbeza dengan warna asal rambut iaitu hitam. Adapun penggunaan warna hitam, maka ia harus digunakan untuk ranbut dalam dua keadaan

1. Suasana jihad perang. Ini bagi menunjukkan kepada musuh bahawa anggota tentera masih gagah dan kuat dan bukannya orang tua yang uzur.

2. Isteri yang ingin menarik perhatian suaminya dan mengekalkan kasih sayang suami terhadap dirinya. Maka jika rambutnya sudah mula menampakkan memutih, maka adalah harus bagi si isteri mewarnakan rambutnya dengan warna hitam.

Pengguna Muslim juga hendaklah memastikan bahawa bahan yang digunakan adalah yang telap air. Ini kerana menyapu kepala iaitu sebahagian rambut yang berada di dalam kawasan kepala adalah rukun wuduk.

Begitu juga dengan mandi junub. Maka jika bahan pewarna tidak telap air maka dikhuatiri wuduk dan mandi junub adalah tidak sah.


Sumber: Utusan Malaysia, Soal Jawab Islam, Al-Syaikh Mohammad Nidzam Abdul Kadir (al-Jarumi) Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.



No comments:

Post a Comment